Friday, September 3, 2010

Selepas 25 tahun

Hari ini, selepas 25 tahun (tahun hijrah), arwah abah saya meninggalkan kami.  Abah meninggalkan kami pada 24hb ramadhan 1406H bersamaan 2 jun 1986 iaitu genap seminggu sebelum adil-fitri.  Abah meninggalkan kami tanpa sebarang petanda, di serang heart attack selepas menunaikan solat terawih dan belum sempat di bawa ke hospital abah menghembuskan nafas akhir beliau.  Pejam-celik, tahun ini dah 25 tahun kami hidup tanpa abah.  Saya bukan lagi kanak2 seperti dulu, tapi saya tetap anak kecik abah.

Paling tersentuh apabila kami berbuka puasa tanpa abah buat kali pertama (untuk selamanya) dan mengenangkan senyuman abah pada saya beberapa minit sebelum abah menghembus nafas.  Kebanyakan family member makan sambil menangis, tapi saya menjadi agak keras, berjaya menahan air mata.  Tetapi saya tewas apabila sampai waktu tidur sebab abah biasanya mengangkat saya ke katil semasa saya hendak tidur.  Walaupun kami agak biasa tanpa kehadiran abah di rumah ( arwah abah saya bekerja sebagai driver pejabat kerajaan negeri yang mana memerlukan dia banyak out-station) tetapi kehilangan yang sementara tak akan sama dengan kehilangan yang selama2nya. Jika abah ada di rumah, tidur saya selalu berangkat & tidur saya akan berselimut rapi (sehinggalah sebelum abah meninggal) dan di tengah malam abah akan kejutkan saya untuk di pimpin ke tandas.  Semua tu berubah sekelip mata.

Apabila saya menyeluk poket baju melayu yang dipakai abah di malam terakhir abah, saya terkedu bila saya jumpa beberapa kuntum bunga kenanga.  Bunga kenanga ialah bunga favourite abah, dan wanginya bunga kenanga itu berlanjutan sehingga bunga kering dengan sendiri selepas seminggu abah meninggal.  Sedih bukan.  Emak saya mengambil masa yang lama untuk mula mencuci baju tinggalan abah kerana tahu saya rindukan bau abah.  Malam2 seterusnya saya memang tidur memeluk baju dan berselimutkan selimut abah.

Di hari raya, abang saya memakai baju melayu yang sepatutnya di pakai abah dan semua kami terdiam sebab saiz abang dan abah lebih kurang sama, dan abang kelihatan serupa abah.  Kehilangan abah buatkan raya kami tidak terasa.  Rumah yang selama ni selalu riuh rendah jadi sunyi.  Saya tahu emak menahan rindu pada abah tapi demi anak2 emak menyembunyikan daripada kami. 

Impak kehilangan abah sangat kuat pada saya kerana saya antara yang terapat dengan abah.  Saya menjadi sedikit biol untuk satu jangkamasa dan hampir setiap malam saya berdoa saya dapat menjejaki langkah beliau sebab saya amat rindukan abah.  Selepas hampir 2 tahun barulah saya kembali agak normal, tetapi setiap kali balik dari hostel, saya akan melawati kubur abah selama berjam-jam.  Itu tak dapat saya buangkan sehinggalah saya habis universiti.

Senarai 25 benda yang saya rindu tentang abah:
1.  Bau abah
2.  Di peluk abah
3.  Ciuman abah & rasa geli bila terkena kumis abah
4.  Saya rindu untuk peluk abah dari belakang
5.  Saya rindu di pangku abah
6.  Saya rindu dengan suara abah
7.  Di angkat abah bila saya tertidur di depan tv
8.  Di selimut abah selepas di baringkan di katil
9.  Menunggu abah balik dari out-station
10.  Menengok abah bergurau senda dengan emak saya
11. Di rotan abah bila saya nakal
12. Menemankan abah out-station yang balik hari di waktu saya cuti sekolah
13. Share makan telur separuh masuk dengan abah
14.  Di jaga abah semasa saya sakit  (terakhir jadi 3 hari sebelum abah meninggal yang mana abah langsung tak tinggalkan saya kecuali untuk sembahyang)
15.  Saya rindu di bawa abah & di kenalkan abah pada kawan2 abah
16.  Diteman abah bila saya nak mandi sungai, abah akan duduk baca surat khabar jawinya di jeti sementara saya mandi
17.  Tidur sama abah & emak bila saya takut ( biasanya saya akan tidur di sebelah abah bukan emak)
18.  Di bawa abah dengan motorsikal ke rumah nenek (emak abah)
19.  Di bawa abah meronda-ronda sekeliling bandar dengan jeep pejabat abah
20.  Berkelah di pulau seberang sungai rumah kami.
21.  Menjadi pemerhati bila abah terlibat dengan parade di hari kebangsaan dimana abah biasanya akan drive kereta berhias.  Bila abah melintasi kami yang berdiri di tepi jalan raya, abah akan campakkan air kotak kepada saya
22. Di bawa abah menziarahi kubur datuk saya (ayah abah) sehari sebelum raya. 
23. Menemankan abah pergi memancing di mana kami akan spend masa berjam2 berdua sahaja & dibawa meronda sungai belakang rumah kami dengan menaiki boat
24. Di pujuk abah bila saya merajuk.  Kali terakhir saya di pujuk abah adalah selepas berbuka puasa malam terakhir abah.  Sebabnya, baju raya yang di tempah emak untuk saya baru siap & saya tak sukakan baju raya tu.  Abah berkali2 memujuk saya, abah kata saya cantik pakai baju raya tu (saya tahu abah tipu sebab saya memang hodoh dari kecik).  Dan kalaulah saya tahu itu malam terakhir abah, sumpah saya tak kan merajuk.  Saya akan cakap terima kasih pada abah & saya akan bagitau abah saya sayangkan abah lebih dari segalanya.
25.  Mimpikan abah.. Semasa kecik  saya selalu mimpikan abah datang & memeluk saya, kadang2 bawak saya bersiar2. Dan kali terkhir saya mimpikan abah pada tahun 2005 (apabila saya mintak petunjuk samada memilih Encik D atau tidak, saya mohon Allah tunjukkan dalam cara yang mudah saya fahami.  Dalam mimpi abah datang, mengangguk dan tersenyum ke arah saya, sangat mudah untuk saya fahami). Tetapi maybe akibat dari saya banyak buat dosa di tahun2 berikunya, abah tak lagi datang ke dalam mimpi saya.  Sangat sedih.

Selepas 25 tahun.. rindu saya memang tak pernah pudar & tahun ini adalah kali ke 26 kami akan beraya tanpa abah.  Antara benda yang pertama yang akan saya buat bila saya balik ke kampung nanti adalah ziarahi kubur abah.  Dan harap2nya saya akan berpeluang membisikkan rahsia saya pada dia seperti yang selalu saya buat suatu masa dulu.

3 comments:

  1. sebagai seorang yang rajin menangis, membaca entry ini cukup nak buat saya teresak2... AlFatihah

    ReplyDelete
  2. sedey..Al-fatihah utk arwah..

    ReplyDelete